Advertisements
Auckland FC Teruja Hadapi Harimau Malaya
Asia
MakanBola
Auckland FC

Pendatang baru A-League, Auckland FC tidak sabar menghadapi cabaran Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan tertutup pada 11 Oktober ini.

Perkara ini dinyatakan oleh ketua jurulatih mereka, Steve Corica bila ditanya tentang persiapan pramusim pasukan itu baru-baru ini.

Corica melihat aksi persahabatan menentang skuad negara dilihat peluang menguji keserasian semua pemain termasuk beberapa tonggak import The Black Knights.

Sebagai persiapan menghadapi A-League musim 2024/25, Auckland telah merekrut Hiroki Sakai, Louis Verstraete, Guillermo May, Dan Hall, Neyder Moreno dan Luis Felipe Gallegos.

Corica turut mendedahkan pasukan itu dalam proses mendapatkan seorang lagi tonggak import. Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti pemain berkenaan.

“Kita hanya perlukan seorang lagi pemain import untuk dibawa masuk. Sudah tentu pemain-pemain import lain, mereka sudah berada di sini. Mereka telah bermain beberapa perlawanan untuk kita.

“Kita ada satu lagi aksi pramusim menentang Malaysia pada Jumaat ini di mana ia akan jadi satu ujian yang hebat yang membawa kepada perlawanan menentang Brisbane (Roar),” katanya seperti yang dilaporkan laman sesawang rasmi A-League.

Auckland turut memiliki lima wakil dalam skuad kebangsaan New Zealand. Mereka ialah Alex Paulsen, Tommy Smith, Nando Pijnaker, Cameron Howieson dan Logan Rogerson.

Harimau Malaya menjadikan aksi menentang The Black Knights sebagai persiapan menghadapi New Zealand pada 14 Oktober ini.