Australia Derma Hasil Jualan Tiket Kepada Palestin

Australia Subway Socceroos Australia Derma Hasil Jualan Tiket Kepada Palestin
Subway Socceroos
Azim Noor @mohdazim45
12:58pm 19/11/2023

Dengan Australia bakal turun menentang Palestin untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Kuwait, pasukan itu telah melakukan sesuatu yang murni.

Akhbar The Guardian melaporkan pasukan kebangsaan negara itu akan mendermakan sebahagian jualan tiket mereka untuk misi kemanusiaan di Palestin.

Ini sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap apa yang berlaku di Palestin terutama di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Derma anak-anak buah Graham Arnold ini akan dipadankan dengan nilai derma sama yang akan dikeluarkan oleh Football Australia. Nilai derma tersebut dijangka mencecah lima angka.

Perlawanan Palestin-Australia sepatutnya diadakan pada 21 November ini di Tebing Barat.

Bagaimanapun, disebabkan konflik Israel-Palestin yang kembali tercetus pada 7 Oktober lalu, lokasi stadium telah ditukar oleh AFC atas alasan keselamatan.

Ini membawa kepada pemilihan Stadium Antarabangsa Jaber Al-Ahmad, Kuwait sebagai stadium neutral pilihan Singa Kan’an itu.

Biarpun kedua-dua pasukan memiliki ranking FIFA yang jauh berbeza, The Socceroos melihat Singa Kan’an itu sebagai pencabar utama mereka dalam Kumpulan I.

Australia yang menduduki ranking ke-27 dunia ketika ini menerajui Kumpulan I selepas membelasah Bangladesh 7-0.

Sementara Palestin yang di tangga ke-96 pula di tempat ketiga selepas diikat tanpa jaringan dengan Lubnan.