Wakil Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024/25, Sabah FC berpotensi berdepan beberapa wakil Asia Tenggara di peringkat kelayakan.
Asia Tenggara memiliki tujuh wakil dalam saingan AWCL ini. Tiga daripadanya sudah mengesahkan kelayakan ke peringkat kumpulan iaitu Ho Chi Minh City (Vietnam), College of Asian Scholars (Thailand) dan Kaya FC-Iloilo.
Sementara empat lagi pasukan termasuk Sabah bersaing di peringkat kelayakan. Selain skuad Badak, Lion City Sailors (Singapura), Young Elephants (Laos) dan Myawady (Myanmar) juga akan bersaing di peringkat sama.
Mengikut keterangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), 13 pasukan akan bersaing di peringkat kelayakan di mana pasukan-pasukan akan diletakkan dalam empat kumpulan. Bhutan, Jordan, Malaysia dan Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kepada setiap kumpulan.
Perlawanan akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini dengan pemenang setiap kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan.
Empat pasukan ini akan menyertai lapan pasukan lain yang layak ke peringkat kumpulan dan dipecahkan kepada tiga kumpulan terdiri daripada empat pasukan. Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung dari 6 hingga 12 Oktober ini.
Tiga negara dipilih sebagai tuan rumah setiap kumpulan iaitu China, Thailand dan Vietnam. Setiap kelab yang diletakkan dalam pot undian akan mengikut ranking terbaru pasukan bola sepak wanita kebangsaan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Seandainya Sabah layak ke peringkat kumpulan, skuad Badak berpeluang menerima hadiah wang berjumlah AS$100,000 (RM470,000). Juara AWCL berpeluang menerima hadiah berjumlah AS$1.3 juta (RM6.07 juta).