Lagenda Manchester United, Ashley Young berpeluang berentap dengan anaknya sendiri, Tyler, 18, dalam aksi pusingan ketiga The Emirates FA Cup.
Undian pusingan ketiga kejohanan itu menyaksikan kelab Young, Everton bakal bertemu dengan kelab anaknya, Peterborough United. Prospek pertemuan mereka dilihat mengujakan beliau dan Tyler.
Sebaik undian aksi Everton-Peterborough diumumkan pada 2 Disember lalu, Young dilihat tidak sabar melihat pertemuan mereka menjadi kenyataan. “Wow, mimpi mungkin jadi kenyataan,” katanya di X.
Young bukan asing dengan saingan The Emirates FA Cup. Ini kerana beliau pernah meraih membantu United yang ketika itu dibimbing Louis van Gaal muncul juara pada musim 2015/16.
Selain The Red Devils, Young merekodkan 724 penampilan untuk Watford, Aston Villa, Inter Milan dan Everton. Tyler pula baru saja memulakan kariernya bersama Posh selepas meninggalkan akademi Arsenal.
Tyler sudah merekodkan satu penampilan dalam EFL Trophy ketika menentang Stevenage pada Oktober lalu. Sejak itu, dia diberi peluang oleh pengurus Peterborough, Darren Ferguson sebagai pemain simpanan untuk dua aksi League One.
Sekiranya Young dan Tyler beraksi dalam perlawanan sama, mereka bukan pasangan bapa dan anak pertama melakukannya.
Alex dan David Herd beraksi untuk Stockport semasa menentang Hartlepool pada 1951. Legenda Chelsea, Eidur Gudjohnsen pula masuk sebagai pemain gantian menggantikan bapanya, Arnor semasa membuat penampilan pertama untuk Iceland pada 1996.
Everton dan Peterborough bakal berentap di Goodison Park pada 11 Januari 2025. Peterborough mara ke pusingan ketiga The Emirates FA Cup dengan menewaskan Notts County 4-3.