Penyerang berbisa Colombia, Ayron Del Valle berkemungkinan membuat penampilan terakhir bersama Selangor FC pada Ahad ini.
Wartawan sukan Argentina, Mariano Olsen mendakwa selepas perlawanan Selangor dengan PDRM FC itu pada 17 Disember ini, Del Valle bakal kembali ke Colombia.
Ini kerana beliau dikatakan mahu menggunakan peluang itu untuk menilai tawaran perpindahan dari Colombia mahupun dari Timur Tengah.
Sekiranya perkara ini benar, maka ini sedikit sebanyak merencatkan usaha The Red Giants untuk mengekalkan beliau sebagai peneraju jentera serangan mereka musim hadapan.
Sebelum ini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan pengurusan Selangor sedang menggerakkan rundingan kontrak baru dengan Del Valle, Yohandry Orozco dan Noor Al-Rawabdeh.
Musim 2023 menyaksikan Del Valle merupakan penjaring terbanyak liga dengan 23 gol. Gol-gol beliau memastikan Selangor muncul naib juara Liga Super musim 2023.
Kedudukan Merah Kuning sebagai naib juara turut melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.
Sekiranya beliau berjaya menambah koleksi gol bila menentang PDRM, penyerang Colombia itu mampu merampas anugerah Kasut Emas daripada pemenang musim sebelumnya, Fernando Forestieri.