Penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani menunjukkan prestasi cemerlang dalam aksi separuh akhir kedua ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam.
Kecemerlangan penjaga gol Negeri Sembilan FC itu turut disokong menerusi penilaian yang dibuat Sofascore dalam perlawanan itu. Azri merekodkan markah 9.0.
Markah tersebut diberi susulan kecemerlangan penjaga gol berusia 27 tahun itu menafikan setiap percubaan yang direncana jentera serangan Vietnam. Ini termasuk percubaan cantik penyerang muda Vietnam, Nguyen Dinh Bac.
Dinh Bac membuat percubaan lencong yang dilihat bakal menuju ke penjuru atas gawang Malaysia. Walau bagaimanapun, percubaan beliau pantas dinafikan Azri.
Kecemerlangan bekas penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu turut mendorong jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik memasukkan Nguyen Xuan Son pada separuh masa kedua.
Kemasukan penyerang berdarah Brazil itu membantu Vietnam meraih kemenangan 2-0. Xuan Son turut meledakkan dua gol melepasi Azri.
Penjaga gol kebangsaan itu bukan satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi cemerlang di Hanoi. Sofascore turut mengiktiraf prestasi cemerlang bek kanan, Alif Ahmad dan bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili.
Kedua-duanya masing-masing mendapat markah 7.0 dan 7.9 atas kerja keras mereka menghalang Vietnam daripada menjaringkan lebih banyak gol.
Persembahan cemerlang Azri sepanjang kejohanan turut dilihat satu petanda bahawa beliau bersedia bersaing dengan Syihan Hazmi Mohamed untuk slot penjaga gol utama Harimau Malaya.
Justeru, posisi berkenaan dijangka menarik perhatian lebih-lebih lagi dengan Malaysia menyertai FIFA ASEAN Cup yang akan berlangusng pada akhir September ini.