Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik mahu Nguyen Xuan Son merobek gawang Thailand seperti mana yang dilakukan terhadap Malaysia dalam dua aksi separuh akhir ASEAN Hyundai Cup.
Sang-sik berkata demikian selepas melihat penyerang berdarah Brazil itu membantu Vietnam menewaskan Harimau Malaya 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Hanoi.
Meskipun hanya beraksi sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, Xuan Son membuktikan dirinya terus berbisa dengan menewaskan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani dua kali.
Atas sebab itu, Sang-sik berharap penyerang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) itu mampu melakukan perkara sama apabila bertemu Thailand di pentas final.
“Saya harap Xuan Son dapat jaringkan tiga gol di peringkat akhir. Xuan Son dan (Nguyen) Dinh Bac melakukan tugas mereka dengan baik terutama dalam menjaringkan gol,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.
Xuan Son dan rakan sepasukan, Nguyen Dinh Bac kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol. Sang-sik percaya persaingan kedua-dua pemain mampu membantu Vietnam mempertahankan mahkota kejuaraan yang diraih pada edisi 2024.
‘Persaingan sihat antara Xuan Son dan Dinh Bac dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak akan menjadi lebih signifikan dan akan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan Vietnam,” tambahnya.
Vietnam bakal menentang Thailand di pentas final. Thailand mara dengan keputusan agregat 4-3 meskipun tewas 2-1 kepada Singapura dalam aksi separuh akhir kedua.
Final ASEAN Hyundai Cup akan berlangsung untuk dua pusingan pada 22 dan 26 Ogos ini.