ASEAN Hyundai Cup: Vietnam Buat Malaysia Kempunan Ke Final
MakanBola
ASEAN United FC

Hasrat Malaysia untuk meraih tiket final ASEAN Hyundai Cup tidak kesampaian apabila tewas kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir kedua di Hanoi.

Malaysia sedar mereka perlu mengatasi kelebihan agregat 2-0 yang dimiliki Vietnam jika ingin layak ke final buat kali pertama sejak edisi 2018. Vietnam pula hanya perlu mempertahankan kelebihan agregat mereka untuk menempah tiket final.

Doan Van Hau beraksi dalam kesebelasan utama menggantikan Nguyen Van Vi yang kurang cergas. Aysar Hadi Mohd Shapri pula mengisi slot yang ditinggalkan bek tengah Kuching City FC, Rodney Celvin Akwensivie.

Separuh masa pertama menyaksikan Vietnam kerap melancarkan serangan ke arah benteng Harimau Malaya diketuai penyerang muda, Nguyen Dinh Bac.

Vietnam hampir mendahului seawal minit ke-10 menerusi Van Hau. Pemain pertahanan Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) itu kecewa apabila tandukannya dinafikan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.

13 minit kemudian, giliran Dinh Bac pula yang dikecewakan penjaga gol Negeri Sembilan FC itu. Rembatan lencong beliau seakan tepat menuju ke jaring tetapi pantas dinafikan Azri.

Harimau Malaya kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Syafiq Ahmad pada minit ke-35. Syafiq dimasukkan selepas Sergio Aguero tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Vietnam terus mengasak tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, giliran Malaysia mula melancarkan serangan menerusi gandingan Mohamadou Sumareh, G. Pavithran dan kapten, Paulo Josue.

Penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang bertindak cemerlang menafikan dua percubaan Josue dan Pavithran pada minit ke-53.

Menyedari Vietnam memerlukan satu lagi gol untuk menjamin kelebihan agregat, jurulatih pasukan itu, Kim Sang-sik memasukkan Nguyen Xuan Son sebagai pengganti Nguyen Hai Long.

Pemilik nama sebenar Rafaelson Bezerra Fernandes itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan Azri pada minit ke-62. Ini menjadikan kelebihan agregat Vietnam kini menjadi 3-0.

Van Vi kemudiannya masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71. Ini selepas pengganti beliau di posisi bek sayap kiri, Phan Tuan Hai tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe memberi peluang buat Hadi Fayyadh Abdul Razak membuat penampilan bersama skuad itu. Hadi Fayyadh masuk menggantikan Josue pada minit ke-79.

Vietnam menambah jaringan menerusi Xuan Son pada minit ke-89 sekaligus memastikan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Vietnam akan bertemu Thailand di final sekali gus mengulangi final edisi 2024.

Sofascore memilih Xuan Son sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.1. Beliau mengatasi Azri dengan kelebihan 0.1 mata.