Sukan badminton Malaysia mencatatkan perbelanjaan tertinggi bagi dana perbelanjaan program Road To Gold tahun 2023.
Menerusi infografik yang dikongsikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menunjukkan perbelanjaan yang telah digunakan bagi program Road To Gold (RTG) bagi tahun 2023 yang dipecahkan mengikut sukan yang disenaraikan dalam program ini.
Menurut infografik tersebut, sukan badminton telah membelanjakan sejumlah RM 2,250,731.17 bagi tahun 2023 dengan atlet yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membelanjakan pecahan sebanyak RM 1,182,645.93.
Manakala, baki RM 1,068,085.24 daripada peruntukan kepada sukan badminton telah dibelanjakan untuk para pemain badminton profesional yang tidak bersama BAM.
Bagi sukan-sukan lain seperti akuatik terjun pula mencatatkan perbelanjaan sebanyak RM 458,177.45 bagi atlet-atlet RTG tahun 2023 seperti Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
Sukan berbasikal yang terdiri daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus pula membelanjakan RM 465,239.66 manakala sukan angkat berat yang diwakili Aniq Kasdan hanya mencatatkan perbelanjaan RM 20,025.44 tahun lalu.
Tahun lalu, sukan hoki membelanjakan RM 342,903.62 bagi persiapan pasukan hoki lelaki negara. Malangnya, skuad hoki lelaki negara tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus menyaksikan skuad The Speedy Tigers dikeluarkan dari senarai RTG awal tahun ini.
Terkini, senarai atlet menyaksikan perubahan dengan penyingkiran dua ratu terjun negara, Datuk Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dan penambahan penerjun muda, Betrand Rhodict.