Pemegang saham majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mendedahkan pasukan itu tetap berjuang meskipun berdepan pelbagai ujian.
Musim 2024/25 menyaksikan Kedah bergelut dengan masalah kewangan. Isu ini juga menyebabkan pasukan itu dikenakan potongan tiga mata pada awal musim ini.
Keadaan ini mendorong pasukan itu kreatif dalam mempelbagaikan sumber kewangan mereka. Ini termasuk penubuhan Jabatan Pembangunan Perniagaan untuk membantu Kedah mempelbagaikan sumber ekonomi pasukan itu.
Berbeza dengan musim 2023, musim 2024/25 menyaksikan bajet Sang Kenari telah dikurangkan sebanyak 40%. Menurut Daud, keputusan ini dibuat selaras dengan kemampuan kewangan yang dimiliki Kedah.
Meskipun kemampuan kewangan yang dimiliki Kedah tidak sehebat pasukan-pasukan lain, Daud bangga dengan semangat juang yang ditampilkan pasukan itu di atas padang.
Dan beliau percaya dengan sokongan padu penyokong, Sang Kenari akan terus berjuang untuk mendaki carta liga.
“Kita semua sedia maklum pasukan Sang Kenari kita bermula awal musim ini dengan segala macam liku dan duri. Alhamdulillah, kita berjaya juga mendapat perlesenan untuk bertarung di musim ini dengan bajet yang dikurangkan hampir 40 peratus daripada bajet musim lepas.
“Bagi saya, biarlah Sang Kenari dapat terus berada di gelanggang perlawanan dan pertandingan daripada tersingkir keluar dari gelanggang. Sekarang, kita sedang berada dalam gelanggang ini dan kita juga sedang berjuang dengan penuh kekurangan dan kelemahan kita.
“Namun, kami kuat dengan sokongan, dokongan dan doa anda semua. Kami masih teruskan perjuangan walaupun dalam serba kekurangan hanya kerana anda semua; peminat, penyokong dan rakyat Kedah Darul Aman keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedah berharap dapat kembali mendapat rentak kemenangan apabila turun menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman pada 17 Ogos. Ini selepas Sang Kenari tewas 6-0 di tangan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam aksi sebelumnya.