Bakat luar biasa yang dimiliki oleh tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuka mata jurulatih kelahiran Russia.
Aksi kedua AFC Champions League Elite (ACLE) menyaksikan pertembungan antara pasukan JDT menentang wakil China, Shanghai Shenhua.
Kelab gergasi Asia itu kini dibimbing oleh ketua jurulatih, Leonid Slutskiy kekal waspada dengan kebolehan yang dimiliki oleh pemain JDT yang beraksi di laman sendiri.
Beliau menamakan dua pemain JDT, Arif Aiman dan Natxo Insa sebagai antara pemain tumpuan yang perlu diberi perhatian oleh anak buahnya.
“Saya tak ambil pusing sebab kita fokus secara keseluruhan. Tapi jika saya beritahu, pemain nombor 42 (Arif Aiman Hanapi), beliau menjaringkan dua gol (semasa menentang Shanghai Port). Tapi saya kagum dengan pemain nombor 30 (Natxo Insa).
“Beliau sekarang berusia 37 tahun tetapi beliau kelihatan cergas, sentiasa meliputi setiap ruang, sentiasa berusaha mendapatkan bola dan berjuang demi pasukan.
Natxo dilabel sebagai pemain yang bijak kerana mampu mengemudi jentera tengah JDT dengan begitu baik berdepan lawan yang bukan calang-calang.
“Saya amat kagum dengannya kerana kita memiliki ramai pemain Sepanyol yang suka bermain, suka bertindak berani bila menyerang dan tidak kehilangan bola dengan mudah.
“Gaya permainan sebegini jarang digunakan di China kerana mereka lebih suka bermain secara menyerang balas. Perlawanan esok bakal menjadi menarik kerana kita perlu menjadi kompetitif dengan corak permainan sebegini.
Aksi JDT menentang Shanghai Shenhua berlangsung pada 1 Oktober 2024 jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim.