Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025 setelah tewas kepada Indonesia pada Khamis.
Pasukan badminton negara turun dengan misi wajib menang ke atas Indonesia bagi melayakkan diri ke suku akhir setelah terpaksa akur tumpas 2-3 di tangan Hong Kong pada Rabu.
Leong Jun Hao dan pasangan senior, Goh Soon Huat-Shevon Lai kembali dalam senarai pemain untuk pertarungan penting ini setelah direhatkan pada perlawanan pertama semalam.
Soon Huat-Shevon turun sebagai wakil pertama negara dan tampil cemerlang di awal permainan untuk memenangi set yang pertama sebelum tumbang di dua set yang seterusnya.
Kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Dejan-Fadia dalam masa 64 minit itu membuatkan kem Malaysia kempunan bagi meraih mata pertama selain meletakkan posisi negara dalam bahaya.
Cabaran seterusnya dibawa tunjang perseorangan wanita, K. Letshanaa yang turun bertemu Komang Ayu dengan pemain negara ini berikan saingan sengit namun tewas jua akhirnya.
Letshanaa sempat berikan tentangan kepada Komang Ayu di set kedua sebelum akur tumpas 12-21, 19-21 dalam masa 39 minit untuk Indonesia mendahului 2-0 mengatasi Malaysia.
Tugas berat digalas oleh Leong Jun Hao yang wajib menang kemaraan atas Marcellyno Yohanes untuk hidupkan peluang ke suku akhir tatkala Indonesia hanya perlu satu mata lagi.
Ternyata, Jun Hao berhasil menyerap segala tekanan dengan bangkit mengatasi Marcellyno dalam permainan 3 set penuh mendebarkan untuk kembali merapatkan kedudukan 1-2.
Momentum tersebut bagaimanapun tersekat apabila Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tumpas kepada beregu wanita Indonesia, Puspitasari-Rose dalam pertembungan 3 set penuh sengit.
Pei Kee-Mei Xing hampir berjaya meraih mata buat Malaysia ketika memenangi set yang pertama namun pasangan lawan bangkit di dua set berikutnya untuk memperoleh mata ke-3.
Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengubati luka kem negara apabila menghadiahkan mata kedua namun itu tidak cukup untuk membantu Malaysia layak ke suku akhir.
Keputusan akhir, Malaysia 2-3 Indonesia.
Keputusan ini menyaksikan Indonesia muncul sebagai juara kumpulan B sementara Hong Kong pula mara ke suku akhir dengan status naib juara kumpulan.