Sarawak mahu menjadikan kelab Barcelona sebagai model rujukan dari segi ekosistem sukan, pelancongan dan kebudayaan.
Hasrat ini dizahirkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ini selepas beliau mengetuai delegasi Sarawak mengadakan lawatan ke wilayah Catalonia, Sepanyol baru-baru ini.
“FC Barcelona bukan sahaja dikenali kerana kecemerlangannya dalam bola sepak, tetapi juga kerana kemampuan mereka untuk menggabungkan sukan dengan pelancongan dan budaya.
“Ini adalah sesuatu yang kami di Sarawak ingin capai, dan percaya bahawa sukan boleh menjadi pemangkin untuk pembangunan pelancongan yang lebih mampan, meningkatkan pengalaman pengunjung dan membangunkan ekonomi lokal,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Karim turut melihat pelancongan dan sukan sebagai dua sektor yang saling berkait. Justeru, beliau percaya jika ini dapat dirancang dengan tepat, ini akan menguntungkan Sarawak dan negara amnya.
“Pelancongan dan sukan tidak boleh dipisahkan, wilayah ini kami melihat kedua-duanya sebagai sektor yang saling menguntungkan dan saling berkait.
“Dengan memperkenalkan acara sukan yang besar, kita dapat menarik lebih banyak pelancong, meningkatkan pendapatan ekonomi dan mempromosikan keindahan budaya serta warisan Sarawak kepada dunia,” ujarnya.
Selain mengadakan lawatan ke Barcelona, Karim turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Ekonomi & Kewangan Catalonia, Alícia Romero Llano.