Kejayaan ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe membawa pasukannya melayakkan diri ke AFC Champions League 2 (ACL2) musim hadapan merupakan kenangan manis bagi dirinya.
Beliau berkata bahawa kenangan yang terbaik adalah berjaya mengemudi skuad Gergasi Merah ke peringkat Asia memandangkan ini merupakan kali pertama beliau berhasil membimbing kelab ke peringkat itu.
“Ia adalah suatu kenangan yang terbaik bagi saya untuk membawa kelab ke Asia kerana saya tak pernah membawa mana-mana kelab sampai ke Asia,” ujar beliau pada sidang media selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman.
Bercakap mengenai persiapan untuk bersaing di peringkat Asia musim hadapan, beliau berkata persiapan adalah sangat penting memandangkan kelab-kelab yang bersaing di sana sudah berada di tahap yang berbeza.
Tambah jurulatih berusia 55 tahun itu lagi, apa yang penting adalah para pemainnya mempunyai keinginan untuk menjadi lebih baik dan sentiasa bersedia agar tidak menjadi kelab belasahan di sana.
Mengenai perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC, beliau mengakui bahawa di separuh masa pertama, bahagian pertahanan pasukannya agak longgar menyebabkan Selangor kerap diasak oleh serangan pasukan Kedah.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu juga memuji persembahan anak-anak buahnya seperti Brendan Gan dan Sam Sommervile yang mempamerkan aksi bertenaga untuk bangkit mencuri 3 mata di Stadium Darul Aman.
Dengan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC itu, Selangor berjaya mengesahkan slot ke AFC Champions League 2 (ACL2) pada musim hadapan sebagai naib juara Liga Super.
Selangor FC bakal mengakhiri kempen Liga Super 2023 mereka dengan menentang PDRM FC pada 17 Disember 2023 manakala Kedah Darul Aman FC akan terbang ke Borneo untuk menghadapi Sabah FC.