Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui berdepan kesukaran memilih siapa penjaga gol yang akan diturunkan untuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Vissel Kobe.
Kempen Liga Timur ACLE menyaksikan Munoz memilih Andoni Zubiaurre dan Syihan Hazmi Mohamed sebagai penjaga gol.
Syihan diturunkan untuk aksi menentang Machida Zelvia dan Shanghai Port. Zubiaurre pula beraksi dalam baki lima aksi termasuk perlawanan menentang Sanfrecce Hiroshima.
Munoz mengakui berdepan kesukaran memilih penjaga gol kerana kedua-duanya telah menunjukkan prestasi baik bukan saja dalam ACLE tetapi juga dalam Shopee Cup.
Selain itu, bekas jurulatih Watford itu juga perlu mengambil kira kemajuan penjaga gol muda, Christian Abad.
Justeru, beliau perlu memilih siapa penjaga gol yang mampu menggalas tugas penting mengekang ancaman jentera serangan Kobe.
“Syihan memiliki musim yang bagus dan sangat positif buat kita. Christian berperanan sebagai penjaga gol sokongan dan setiap hari terus menunjukkan kemajuan sebagai penjaga gol. Kerana sebagai penjaga gol muda, beliau harus memperbaiki semua aspek dan juga sebagai penjaga gol JDT.
“Andoni telah melakukan kerja menyelamat yang bagus di Vietnam dan beliau juga beraksi baik di Jepun. Ia sesuatu yang sukar kerana anda ada tiga penjaga gol yang bagus. Dan anda juga kena berkompromi demi mendapatkan minit permainan.
“Jadi, ia sesuatu yang sukar. Kita akan lihat pada hari esok siapa yang akan diturunkan untuk perlawanan esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
JDT berdepan misi wajib menang menentang Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 17 Februari ini.