Hasrat Bayern Munich untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Bundesliga musim ini tidak menjadi kenyataan apabila dibelasah Eintracht Frankfurt dengan keputusan 5-1 semalam.
Omar Marmoush berjaya meledak buat Eintracht seawal minit ke-12 selepas melakukan tindakan susulan setelah percubaan Fares Chaibi terkena palang.
Eric Dina Ebimbe menggandakan kelebihan buat Eintracht pada minit ke-31 dan Hugo Larsson menjadikan kedudukan 3-0 lima minit kemudian, selepas memanfaatkan kesilapan daripada Joshua Kimmich.
Kimmich berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-1 dan menebus kesilapan sebelum rehat dengan rembatan kencang dari jarak 20 ela untuk mengurangkan defisit.
Bersambung babak kedua, Eintracht hanya memerlukan lima minit sahaja bagi meneruskan pesta gol mereka, kali ini sekali lagi melalui Eric Dina Ebimbe yang menyudahkan hantaran lolos daripada Fares Chaibi.
Pemain muda Eintracht, Ansgar Knauff menutup pesta gol menentang Bayern dengan jaringan pada minit ke-59 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid.
Dengan kemenangan ini, Eintracht Frankfurt menjadi pasukan pertama dalam 48 tahun yang menjaringkan lima gol dalam tempoh satu jam menentang Bayern dalam Bundesliga sejak kemenangan 6-0 mereka sendiri pada 1975.
Manakala kekalahan yang menimpa Bayern ini telah mencalarkan rekod tanpa kalah mereka musim ini. Kini hanya tinggal Bayer Leverkusen satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam saingan Bundesliga.
Highlight Bayern Munich dan Eintracht Frankfurt DI SINI.
