Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Andros Townsend bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan selepas dilanggar mesin gelek rumput sebelum perlawanan terbaru pasukannya, PT Prachuap.
Talksport melaporkan bekas bintang Tottenham Hotspur itu sibuk berlatih di padang Stadium Tinsulanon sebelum perlawanan antara Pattani FC dengan Prachuap.
Tatkala beliau sibuk berlatih, mesin gelek rumput yang dipandu seorang individu terlanggar Townsend semasa menyelenggara padang. Bekas bintang England itu bernasib baik kerana staf stadium menghentikan mesin sebelum ia dapat bergerak lebih jauh.
Rakan-rakan sepasukan Townsend segera membantunya bangun sebelum beliau berjalan perlahan-lahan untuk mendapatkan rawatan.
Insiden itu bukan saja tidak menjejaskan moral beliau. Malah, Townsend turut beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan sama pada minit ke-93.
Aksi Pattani menentang Prachuap menyaksikan pelawat meraih kemenangan 3-0. Saharat Kanyarot, Taua Ferreira dan Edgar Mendez masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Sebelum menyertai Prachuap, Townsend pernah beraksi untuk kelab Kanchanaburi Power bersama pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero pada musim lalu. Beliau hanya kekal selama semusim selepas Kanchanaburi tersingkir ke Thai League 2.
Selain Spurs, Townsend pernah beraksi untuk Newcastle United, Crystal Palace, Everton dan Luton.