Status sama ada Sergio Aguero dapat menyertai kem Harimau Malaya untuk kempen FIFA ASEAN Cup menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.
Hal ini timbul kerana jurulatih PSM Makassar, Darije Kalesic mendedahkan pemain tengah berusia 32 tahun itu masih menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring.
Selepas mengetahui berita Aguero dipanggil jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe untuk kempen FIFA ASEAN Cup, Kalezic tidak melihat itu sebagai satu isu.
Ini kerana itu merupakan hak bagi mana-mana pasukan kebangsaan untuk memanggil pemain dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Apakah beliau (Aguero) cergas atau tidak, skuad kebangsaan Malaysia mempunyai hak memanggil pemainnya. Sudah tentu kita berkomunikasi, ada komunikasi dengan Malaysia berkenaan Aguero,” katanya seperti dilaporkan Makassar Tribun News.
Pada masa sama, Kalezic percaya jika Aguero dipanggil sekalipun, bekas pemain tengah Sri Pahang FC itu tidak akan beraksi sepanjang kejohanan atas faktor kecergasan.
Faktor sama juga yang mendorong beliau tidak menurunkan pemain tengah Harimau Malaya itu selepas mengharungi dua perlawanan Super League.
“Sayangnya untuk kita ini, sudah tentu kerugian besar tidak bisa menggunakan Aguero sampai sekarang. Cederanya belum sembuh 100%.
“Jika beliau tidak bermain di sini (dan) sembuh 100%, saya jamin kita tidak akan melihat beliau bermain nanti di skuad kebangsaan Malaysia,” tambahnya.
Sekiranya Aguero masih tidak cergas, Cheng Hoe boleh memanggil sama ada Syahir Bashah (Selangor FC) atau Aliff Haiqal Lau (Penang FC) sebagai penggantinya. Kedua-dua pemain antara 13 pemain yang berada dalam senarai menunggu Harimau Malaya.