Nama bekas pengendali Kelantan FC, Velizar Popov kembali jadi sebutan apabila membimbing kelab Vietnam, Thanh Hoa muncul juara Vietnamese Super Cup.
Kejayaan itu dicapai apabila Pahlawan Lam Son berjaya mengatasi cabaran juara V. League 1 musim lepas, CAHN 3-1.
Dua pemain import Thanh Hoa, Gustavo dan Rimario Gordon muncul wira dengan menyumbat gol pada minit akhir babak pertama, 78 dan 81.
Sementara The Police pula terpaksa berpuas hati dengan gol saguhati Geovane Magno. Selain itu, mereka turut kehilangan Tuan Duong Giap yang dibuang padang pada minit ke-85.
Thanh Hoa muncul sebagai lawan CAHN selepas menggondol trofi Vietnamese National Cup pada musim lepas.
Bagi Popov, ini satu pencapaian membanggakan buat kelab kerana dapat meraih trofi berganda dalam tempoh setahun. Beliau percaya pencapaian ini akan dikenang dalam sejarah Thanh Hoa.
“Pencapaian trofi berganda dalam setahun ialah satu pencapaian dalam sejarah yang akan kekal selama-lamanya dalam memori kelab.
“Seluruh pasukan termasuk pemain, staf kejurulatihan dan perubatan berhak menerima kejayaan ini atas etika kerja menakjubkan dalam setiap sesi latihan atau perlawanan!
“Terima kasih semua, saya bangga dengan anda semua atas kejayaan ini, bukan saja kerana memenangi trofi tetapi (menunjukkan) kualiti permainan dan bola sepak yang saya mahu untuk pasukan saya cuba untuk bermain,” katanya di platform X semalam.
Popov pernah membimbing The Red Warriors selama semusim pada 2016. Walaupun tidak kekal lama, beliau membantu Kelantan menduduki kedudukan empat teratas Liga Super dan membelasah Terengganu FC 6-1 pada musim tersebut.
Selain Kelantan, Popov juga pernah melatih skuad kebangsaan Maldives, skuad B-23 Myanmar dan kelab Thailand, Suphanburi.
Thanh Hoa bakal memulakan kempen V. League 1 musim 2023-2024 dengan menentang Binh Dinh pada 21 Oktober ini.