Bekas Jurulatih Masih Harap KL City Lunas Tunggakan Gaji
MakanBola
Kuala Lumpur FA

Bekas jurulatih penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Guilherme Almeida masih berharap pengurusan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji beliau.

Harapan itu dizahirkan beliau dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi baru-baru ini.

Almeida memaklumkan kelab Lembah Klang itu masih belum menyelesaikan tunggakan gajinya selama hampir tujuh bulan. Tunggakan itu termasuk elaun dan tiket penerbangan.

“Hampir tujuh bulan. Hampir tujuh bulan dengan sebahagian duit kerana kita masukkan sekali tiket penerbangan dan elaun.

“Jadi, jumlah semua sekali melebihi RM100,000,” kata jurulatih penjaga gol berusia 43 tahun itu.

Isu tunggakan gaji membabitkan Almeida menyebabkan The City Boys dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Januari lalu.

Sekatan itu juga menyebabkan KL City tidak dapat menambah pemain baharu untuk terus memburu kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super.

Almeida menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan KL City dari 2018 hingga 2024. Isu gaji kemudiannya mendorong beliau memilih meninggalkan pasukan itu dan menyertai kelab Vietnam, Viettel.