Kedah FA memperkuatkan jentera serangan pasukan itu dengan merekrut bekas penyerang Terengganu FC, Chukwu Nnabuike Chijioke.
Perpindahan penyerang Nigeria berusia 28 tahun itu disahkan pengurusan Kedah menerusi satu kenyataan.
“Chukwu Nnabuike Chijioke merupakan pemain import dari Nigeria yang beraksi di posisi penyerang.
“Pemain yang memiliki kekuatan fizikal, kepantasan serta naluri jaringan yang tajam. Nama yang tidak asing lagi dalam saingan bola sepak Malaysia dengan sentuhan penyudah yang berkesan.
“Dengan pengalaman beraksi di pentas domestik, Nnabuike hadir sebagai satu elemen penting untuk melengkapkan jentera serangan Kedah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Chijioke bukan asing dengan saingan Liga Malaysia (Liga M). Selain Terengganu dan Terengganu II, beliau juga pernah mewakili PDRM FC pada 2023.
Chijioke pernah berkongsi kedudukan penjaring kedua terbanyak Piala MFL musim itu dengan 13 gol bersama Gabriel Nistelrooy.
Selain penyerang Nigeria itu, Kedah turut merekrut penyerang Melaka FC, Afeeq Iqmal Rosli secara pinjaman untuk baki musim 2025/26.