Bekas pengadil di Liga Perdana Inggeris (EPL), David Coote melakukan pendedahan mengejut apabila mengakui dirinya seorang yang meminati kaum sejenis (gay).
Coote, 43 tahun adalah seorang yang memiliki pengalaman mengadili aksi-aksi penting di England, Eropah dan pernah menjadi pengadil Piala Dunia B-17 di Indonesia pada 2024.
Walau bagaimanapun, nama Coote tercemar apabila terlibat dengan isu memaki bekas jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp dalam sebuah rakaman video yang tular sekitar 2024 lalu.
Tindakan tersebut memaksa Pegawai-Pegawai Perlawanan Profesional Berhad (PGMOL) mengambil tindakan kepada Coote dan telah menggantung khidmat beliau serta-merta.
Malah, Coote pernah ditangkap mengambil bahan terlarang yang dipercayai Kokain ketika Euro 2024 yang menyaksikan khidmat beliau turut digantung oleh The Union of European Football Association (UEFA).
Pada Disember 2024 yang lalu, Coote akhirnya telah dipecat oleh PGMOL dalam kenyataan yang dikeluarkan sekaligus mengakhiri kariernya sebagai pengadil EPL sejak tahun 2018.
Terbaharu, Coote dalam satu laporan akhbar tempatan di United Kingdom mendedahkan bahawa beliau merupakan seorang yang meminati kaum sejenis beliau atau dikenali sebagai gay.
“Saya gay, tetapi menyembunyikan orientasi seksual saya dalam dunia bola sepak. Ini membawa kepada tingkah laku yang sangat saya sesali,” kata Coote menurut laporan The Sun.
Tambah Coote, seksualiti beliau ini terpaksa disembunyikan oleh kerana kerjaya yang dipilih iaitu sebagai pengadil amat terdedah kepada hinaan dan menyukarkan kerjanya andainya diketahui.
“Saya telah menerima cacian dan makian yang sangat tidak menyenangkan sepanjang kerjaya saya selaku pengadil dan menambah orientasi seksual saya kepada itu akan menjadi sangat sukar.”