KL City FC memperkuatkan bahagian penjaga gol dengan membawa masuk bekas penjaga gol kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Perpindahan bekas penjaga gol Harini FT itu diumumkan pengurusan The City Boys di platform media sosial rasmi mereka.
Kehadiran Hafizul mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol muda, Azim Al Amin Kamaruddin yang berhijrah menyertai Selangor FC.
Selain Harini FT, penjaga gol berusia 30 tahun itu pernah beraksi untuk Penang FC, Perak FC dan Harimau Muda.
Semasa bersama pasukan Liga M3 itu, Hafizul membantu pasukan itu memburu kejuaraan liga sebelum meraih kedudukan ketiga pada musim 2023.
Beliau juga mewakili skuad kebangsaan sebanyak lapan kali dan merekodkan dua perlawanan tanpa bolos untuk Harimau Malaya.
Hafizul menjadi pemain terbaru menyertai The City Boys selepas bekas pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), S. Sharvin dan bekas bek tengah Sri Pahang FC, Nick Swirad.