Advertisement
Bekas Penjaring Terbanyak Piala Dunia Semakin Menggila Di Kedah
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC B

Walaupun bukan beraksi di liga utama, namun ianya bukanlah satu titik noktah buat penyerang dari Ghana, Ebenezer Assifuah untuk terus mempamerkan taringnya bersama skuad Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) dalam saingan Piala MFL musim ini.

Selain mempunyai penyudah yang tajam, Assifuah juga mempunyai larian deras yang sentiasa menggerunkan pihak lawan. Ianya terbukti apabila beliau pernah mengejutkan dunia bola sepak apabila pernah memenangi gelaran kasut emas Piala Dunia Bawah B-20 pada tahun 2013.

Kehadiran Assifuah ke Kedah pada awalnya agak merisaukan kerana baru pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa beliau berehat panjang dan tidak beraksi sejak Mac tahun lalu.

Assifuah berjaya membuktikan beliau sudah bersedia untuk beraksi di Liga Super apabila setakat ini beliau sudah meledak 10 jaringan daripada 8 perlawanan yang telah diharungi. Dengan 10 gol, Assifuah kini merupakan penjaring terbanyak Piala MFL setakat ini.

Pada bulan lalu, Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain mengakui gembira dengan prestasi yang ditonjolkan oleh Assifuah dan khidmat penyerang berusia 30 tahun itu akan digunakan pada masa yang sesuai.

Assifuah disebut-sebut bakal dinaikkan ke skuad utama Kedah bagi menggantikan Willian Lira. Lira kini menjadi perhatian penyokong Kedah yang kurang gemar melihat corak permainan yang ditampilkan penyerang dari Brazil itu walaupun sudah meledak 7 gol setakat ini.