Dengan saingan Liga Super bakal bermula pada minggu ini, pasukan-pasukan mula memuktamadkan senarai awang import mereka. Kelantan dikhabarkan bakal merekrut seorang bekas penyerang kebangsaan Australia bagi memperkuat jentera serangan mereka.
Hal ini dinyatakan sendiri oleh pemilik Kelantan, Norizam Tukiman dalam satu hantaran Facebooknya semalam. Selain penyerang tersebut, beliau juga berkongsi perkembangan dua pemain import yang menyertai The Red Warriors iaitu Carli De Murga dan Ismahil Akinade.

Walaupun Norizam tidak mendedahkan identiti penyerang Australia itu, ramai penyokong Kelantan berpandangan pemain tersebut ialah Eli Babalj. Penyerang berusia 30 tahun itu pernah mewakili Melbourne Heart, Red Star Belgrade, AZ Alkmaar dan Chainat Hornbill.
Mempunyai ketinggian 1.95 meter, ini menjadikan Babalj aset dalam situasi bola mati dan fokus utama di bahagian serangan.
Bagaimanapun, satu perkara yang sedikit membimbangkan ialah rekod jaringannya yang kurang memuaskan. Jika benar Babalj menyertai The Red Warriors, maka jurulatih Choi Moon-sik perlu mempunyai resepi mujarab untuk menjadikan penyerang itu digeruni di depan gol lawan.
Selain tiga awang import ini, Kelantan juga dikhabarkan bakal mendapat khidmat Danial Ashraf Abdullah selepas meninggalkan pasukan Penang.