Pasukan Harimau Malaya dikhabarkan bakal beradu kekuatan dengan pasukan Amerika Latin pada bulan September ini.
Skuad kebangsaan difahamkan akan beraksi di Thailand bagi menyertai kejohanan King’s Cup.
Kejohanan ini juga bakal melibatkan pertembungan 4 Penjuru sekaligus dapat menguji taring Harimau Malaya setelah sekian lama berehat panjang.
Pertembungan hangat yang bakal berlangsung di Chiangmai, Thailand itu dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) kerana mahu memberi peluang kepada rakyat di setiap wilayah untuk turun memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka.
“FAT mengumumkan wilayah Chiang Mai sebagai tuan rumah bagi perlawanan antarabangsa FIFA pada bulan September kerana kawasan itu dinilai sebagai lebih bersedia.”
“Stadium 700 Year Chiang Mai dipilih sebagai venue perlawanan,” tulis laporan tersebut.
Berdasarkan satu laporan, selain Malaysia dan juga Thailand, King’s Cup juga turut melibatkan dua lagi pasukan yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi dalam ranking FIFA.
Difahamkan, pasukan dari Amerika Latin yang dimaksudkan adalah bekas pasukan yang beraksi di Piala Dunia iaitu Bolivia selain satu lagi pasukan dari Asia Tengah.
Walau bagaimanapun, perkara ini masih belum mendapat pengesahan daripada pihak FAT.
Sekiranya benar, Bolivia bakal menjadi lawan terkuat anak didik Kim Pan-gon untuk berdepan dengan lawan yang pernah bersaing di Piala Dunia sebanyak tiga kali dan kali terakhir pada tahun 1994.
Malah, Bolivia juga pernah bergelar juara Copa America pada 1963 dan kini berada pada kedudukan ke-81 dunia berdasarkan ranking FIFA.
Kejohanan ini semestinya menjadi pentas terbaik buat Kim Pan-gon untuk mengenal pasti segala kelemahan pasukan selain berpeluang untuk berdepan lawan yang lebih kuat.
Ini juga bakal menjadi medan persiapan sebelum menghadapi ujian sebenar pada Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023.