Isu pertahanan rapuh menghantui Buriram United menjelang aksi pertama Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 15 September ini.
Isu itu timbul apabila Buriram diikat Chiangrai United 1-1 dalam aksi terbaru Thai League 1 di Stadium Buriram. Selepas mendahului menerusi Guilherme Bissoli, Chiangrai memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi Robinho.
Meskipun kini dibimbing jurulatih Portugal, Mario Silva, Buriram masih belum merekodkan rekod tanpa bolos selepas dua perlawanan liga musim 2026/27 setakat ini.
Ini sama sekali berbeza dengan JDT yang telah menjaringkan 25 gol dan masih belum bolos dalam lima aksi Liga Super setakat ini. Satu-satunya gol yang membolosi anak buah Xisco Munoz berlaku dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA menentang UM Damansara.
Lantas, tidak hairanlah mengapa Presiden Buriram United, Newin Chidchob mahu barisan pemain pasukan itu berusaha mengurangkan kesilapan menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Meskipun memiliki rekod baik ke atas JDT, Newin mahu isu pertahanan rapuh dan kesilapan yang dilakukan pemain Buriram ditangani segera.
“Pelbagai perkara tidak berlaku seperti dirancang. Kita perlu perbaiki semua kesilapan ini dengan segera. Perlawanan seterusnya di tempat lawan menentang JDT. Setiap perkara terperinci mesti bebas daripada kesilapan,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
Aksi ini juga dilihat peluang balas dendam buat JDT selepas disingkirkan lawan sama di peringkat separuh akhir Shopee Cup musim lalu.