Pemain beregu wanita Malaysia, Ng Qi Xuan memohon bantuan kewangan bagi membolehkannya menjalani pembedahan pada bahagian lutut.
Nama pemain berusia 25 tahun itu menjadi sebutan ramai apabila mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan dalam aksi separuh akhir saingan badminton Malaysia Super 100.
Pada ketika itu, Qi Xuan bergandingan dengan Yap Rui Chen sedang mendahului satu lagi wakil negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing pada kedudukan 20-18 di set kedua. Sebelum itu, mereka tewas 22-20 pada set pertama.
Susulan kecederaan berkenaan, Qi Xuan terpaksa diusung keluar bagi membolehkannya mendapat rawatan di hospital. Ini sekaligus memberi kemenangan percuma kepada Pei Kee-Mei Xing.
Kini, selepas melakukan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI), Qi Xuan dikesan mengalami empat kecederaan serius di bahagian lutut.
Selain mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), beliau juga mengalami kecederaan ligamen kolateral lateral (LCL), ligamen kolateral medial (MCL), ligamen krusiat posterior (PCL) dan sedikit keretakan tulang.
Kecederaan ini memerlukan beliau menjalani pembedahan dengan kos rawatan antara RM25,000 hingga RM30,000. Malangnya, syarikat insurans tidak memberi perlindungan untuk kecederaan seperti yang dialami Qi Xuan.
“Sejujurnya saya agak terkejut dengan keputusan ini kerana ia kecederaan kali pertama yang sangat serius. Sebenarnya, saya ingin meminta bantuan daripada anda semua. Malangnya, syarikat insurans saya tidak menanggung kes saya.
“Saya memerlukan sekitar RM25,000-RM30,000 untuk pembedahan dan juga untuk sebahagian daripada bil hospital. Ibu bapa saya kini sudah bersara dan saya tidak mempunyai pendapatan kerana tidak dapat menjalani latihan dengan lutut saya yang cedera teruk.
Saya menulis ini dengan penuh rendah hati untuk mendapatkan bantuan anda semua,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Qi Xuan melihat kecederaan ini sebagai cabaran buat dirinya selaku pemain profesional. Atas sebab itu, beliau amat menghargai sokongan ramai pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membantunya pulih.
“Saya sangat bersyukur dan gembira jika anda semua boleh membantu sedikit agar saya dapat kembali pulih. Bukan mudah untuk menjadi pemain profesional.
“Sokongan anda sangat bermakna bagi saya, dan saya tidak akan meminta jika saya tidak benar-benar memerlukannya. Terima kasih kerana sentiasa ada bersama saya. Saya sangat menghargai sokongan dan bantuan anda,” katanya.
Semasa berada di hospital, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar wakil menerusi Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Penolong Setiausaha Agung BAM, Mohd Taupik Hussain untuk melawat Qi Xuan.
Malah, BAM juga bersedia membantu pemulihan beliau dengan menjalani proses berkenaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas selesai menjalani pembedahan.
Sejak hantaran itu disiarkan, ramai peminat badminton negara tampil menghulurkan sumbangan menerusi beberapa saluran yang dinyatakan Qi Xuan.