Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menyaksikan banyak gol menarik dijaringkan pada musim lepas. Dan ketika ini, berdasarkan undian yang dijalankan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), duo Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Leandro Velasquez dan Bergson da Silva jauh mendahului pemain-pemain lain.
Selain gol Velasquez dan Bergson, kategori gol terbaik ACL 2022 turut menyenaraikan nama Ikhsan Fandi (BG Pathum United), Song Ui-young (Lion City Sailors), Moon Seon-min (Jeonbuk Hyundai Motors), Chanathip Songkrasin (Kawasaki Frontale), Andrew Nabbout (Melbourne City) dan David Moberg Karlsson (Urawa Red Diamonds).
Berdasarkan undian ketika ini, Velasquez mendahului undian dengan 60% diikuti oleh Bergson (25%). Ikhsan di tempat ketiga dengan 7%, Chanathip (3%), Karlsson (2%) dan Ui-young (1%).
Sementara Seon-min dan Nabbout pula tidak mendapat sebarang undian ketika ini. Melihat peratusan undian yang dimiliki Velasquez dan Bergson, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dua gol yang dijaringkan mereka itu sememangnya menarik di mata penonton.
Tetapi bagi ramai penyokong JDT, gol Velasquez itu amat istimewa kerana itulah gol yang membawa mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL musim lepas.
Bagi yang masih belum mengundi, masih ada peluang untuk melakukannya. Ini kerana undian Gol Terbaik ACL 2022 dibuka sehingga 8 Jun ini.
Undi Di Sini: Gol Terbaik ACL 2022