Bergson Sedia Perkuat Malaysia Di Piala ASEAN FIFA
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, kini menjadi antara nama yang disebut-sebut untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala ASEAN FIFA 2026.

Bergson ditemui media JomUnited selepas aksi persahabatan antara JDT dan Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3. Bergson turut tersenarai sebagai penjaring untuk gol ketiga JDT.

“Gol yang hebat (menentang Chelsea). Soalan saya untuk kamu, Harimau Malaya, FIFA ASEAN Cup, kita perlu penyerang yang klinikal. Adakah anda bersedia?,” soal media JomUnited di laman TikTok.

“Saya menghargainya. Terima kasih. Saya rasa saya bersedia untuk itu (mewakili Harimau Malaya). Jadi saya hanya tunggu apa yang akan berlaku untuk langkah seterusnya sebab kita tak tahu apa yang mendatang. Namun saya gembira untuk berada di sini dan saya menantikannya,” jelas Bergson kepada JomUnited.

Nama pemain kelahiran Brazil itu mula mendapat perhatian selepas dikaitkan dengan proses naturalisasi bagi membolehkan dirinya menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Selain Bergson, beberapa nama lain turut disebut-sebut sebagai calon untuk memperkuatkan skuad kebangsaan selepas ini. Antaranya ialah pemain tengah JDT, Manuel Hidalgo, selain dua pemain pertahanan kelahiran Australia iaitu Giancarlo Gallifuoco dan pemain warisan, Brad Tapp.

Piala ASEAN FIFA 2026 dijadualkan berlangsung dari 21 September hingga 6 Oktober 2026, sekali gus memberikan peluang kepada Harimau Malaya untuk tampil dengan barisan pemain terbaik bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, India dan Singapura. Indonesia pula menjadi tuan rumah kumpulan tersebut, menjadikan saingan berkenaan dijangka berlangsung sengit sejak peringkat kumpulan.

Dengan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang semakin hampir, kehadiran Bergson bersama beberapa calon pemain lain mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang kompetitif dan memburu keputusan terbaik dalam kejohanan tersebut.