Malaysia memperoleh khabar baik menjelang persiapan ke CAFA Nations Cup.
Skuad kendalian Peter Cklamovski secara rasminya bakal ke Asia Tengah dalam misi mempersiapkan pasukan bagi perjuangan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Harimau Malaya bersama pasukan ke-77 dunia, Oman hadir selaku pasukan jemputan bersama-sama 6 lagi negara iaitu Iran (18), Uzbekistan (57), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Afghanistan (160).
Teka-teki mengenai barisan terbaik yang bakal menggalas cabaran negara timbul selepas 5 orang pemain warisan baharu membantu Malaysia ketika menentang Vietnam iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan juga Rodrigo Holgado.
Laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan mengenai potensi skuad kebangsaan dibarisi muka terbaik menjelang CAFA Nations Cup.
“Pemain Malaysian Abroad dijangka sertai skuad Harimau Malaya ke Piala CAFA pada awal September, bergantung kepada jadual liga masing-masing,” ujarnya di laman X.
Ketua jurulatih, Peter Cklamovski yakin proses menentang pasukan lebih baik diperlukan buat anak buahnya untuk terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
”Ini adalah peluang dan sesuatu yang mencabar untuk ke CAFA Nations Cup berdepan Iran, Uzbekistan yang sudah layak ke Piala Dunia,” kata Peter Cklamovski kepada Astro Arena.
“Setiap pasukan memberikan cabaran berbeza,” tambah beliau secara ringkas.
Ujian berikutnya di Kelayakan Piala Asia 2027 adalah menentang Laos dalam dua aksi di tempat sendiri dan gelanggang lawan.