MFL Bantu Harimau Malaya Ke CAFA Nations Cup
MakanBola
Malaysia NT

Perjalanan Harimau Malaya di CAFA Nations Cup 2025 nanti dibantu dengan struktur penjadualan oleh Malaysian Football League (MFL).

Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski sah akan terbang ke Asia Tengah untuk menghadapi kejohanan CAFA Nations Cup yang dijadualkan bermula pada hujung Ogos ini.

Walau bagaimanapun timbul keraguan kerana bahagian awal kejohanan ini akan berjalan di luar kalendar FIFA dan dilihat bertindih dengan jadual Liga Malaysia yang membuka tirai 8 Ogos ini.

Oleh itu, Peter Cklamovski ketika ditemu bual oleh Zulhelmi Zainal Azam sebelum ini berkata pihak beliau telah bertemu dengan MFL bagi membincangkan mengenai perkara ini.

“Kami sudah bercakap kepada pihak MFL mengenai aspek jadual perlawanan dengan berkerjasama bagi memastikan pemain bersedia ketika kejohanan itu nanti,” jelas Peter Cklamovski.

Perkara tersebut telah disambut baik oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Mohd Shazli Shaik yang berkata pihak beliau sentiasa menyokong visi skuad negara.

Oleh itu, pihak MFL sedia memberi sokongan buat Harimau Malaya dengan mengosongkan tarikh sepanjang kejohanan CAFA Nations Cup berlangsung tanpa sebarang aksi Liga Super.

Beliau yang berkata kepada Stadium Astro melihat kejohanan ini amat penting demi memastikan rentak cemerlang Harimau Malaya di pentas Kelayakan Piala Asia dapat diteruskan pada baki aksi selepas ini.

”MFL melihat ini salah satu kejohanan yang penting untuk persiapan skuad kebangsaan bagi hadapi Kelayakan Piala Asia pada Oktober hadapan,” kata Mohd Shazli Shaik.

CAFA Nations Cup bakal berlangsung bermula pada 26 Ogos hingga 9 September hadapan di Uzbekistan dan Krygyzstan dengan disertai oleh 8 negara hebat di Asia termasuk skuad negara.