Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernando Tavares optimis dengan kemampuan anak buahnya untuk menampilkan persembahan terbaik dalam pertembungan Piala AFC 2023 antara PSM Makassar dan Sabah pada esok.
Biarpun pasukan kendaliannya mendapat kurang rehat berbanding Sabah, beliau dan barisan kejurulatihannya bagaimanapun sudah melakukan persiapan rapi untuk menurunkan skuad terkuat.
Pengendali dari Portugal ini akui beliau sentiasa memantau prestasi semasa pasukan Sabah. Beliau anggap Sabah beruntung kerana aksi berdepan Kelantan pada saingan Liga Super tempoh hari ditangguhkan.
“Kejohanan Piala AFC ini tahapnya pasti berbeza. Kita tahu Sabah dapat cukup rehat, perlawanan yang sepatutnya mereka beraksi akan tetapi ia ditangguhkan. Jadi sejak 25 haribulan lepas, mereka berehat dan kami pula tempuhi banyak aksi,” ujar Tavares.
Beliau juga menjelaskan bahawa PSM Makassar sudah membuat banyak analisis tentang kelebihan dan kekuatan skuad The Rhinos. Pengendali berusia 43 tahun ini sebenarnya teruja melihat sistem yang diterapkan skuad kendalian Ong Kim Swee.
“Kita buat analisis tentang pasukan Sabah. Mereka sangat kuat dalam lantaran lintang dan set piece.”
“Sabah miliki pemain yang berkebolehan melakukan sepakan dari luar kotak penalti dan Sabah juga ada pemain yang pantas di bahagian serangan, dengan pemain yang sama mereka mampu bermain dengan kepelbagaian sistem.”
“Esok kami perlu bersedia dengan perkara ini, pastinya kami akan letakkan barisan terbaik berdepan Sabah esok. Kami tahu esok merupakan perlawanan yang sukar, tapi kami akan berikan yang terbaik sebagai pasukan yang mewakili Indonesia.”
PSM Makassar dan Sabah bakal beraksi untuk aksi kedua saingan Kumpulan G Piala AFC 2023 pada esok. Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Kapten Wayan Dipta, Bali tepat jam 8 malam.