Advertisement
AFC Cup: Central Coast Mariners Cipta Sejarah Ke Final, Tewaskan Abdysh-Ata Kant
AFC Cup
MakanBola
AFC Cup

Juara A-League musim 2022/23, Central Coast Mariners mara ke final Piala AFC buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila mengenepikan kelab Kyrgyzstan, Abdysh-Ata Kant dalam final antara zon kedua hari ini.

Selepas terikat 1-1 dalam aksi final antara zon pertama di Stadium Spartak Kyrgyzstan pada minggu lepas, kedua-dua pasukan tahu kemenangan perlu dicari dalam aksi final antara zon kedua.

Ini kerana pasukan yang layak ke final kejohanan bakal berdepan kelab Lubnan, Al-Ahed bagi menentukan juara Piala AFC edisi 2023/24.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah pada awalnya mendominasi perlawanan untuk mendapatkan kelebihan gol awal.

Malangnya, beberapa serangan yang diatur anak buah Mark Jackson berjaya dinafikan pertahanan pelawat diketuai kapten, Magamed Uzdenov.

Abdysh-Ata juga berusaha menggugat barisan pertahanan tuan rumah menerusi bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Ernist Batyrkanov.

Walau bagaimanapun, barisan pertahanan CCM diketuai Daniel Hall memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus mengatur serangan untuk mendapatkan gol kemenangan.

Percubaan terbaik CCM hadir pada minit ke-61 menerusi pemain sayap Brazil, Mikael Doka. Malangnya, rembatan derasnya berjaya dinafikan penjaga gol The Green Kant, Marcel Islamkulov.

Kedua-dua pasukan kemudiannya membuat beberapa pertukaran bagi memecahkan kebuntuan aksi final antara zon kedua.

Percaturan Jackson memasukkan Miguel Di Pizio menggantikan Christian Theoharous berhasil apabila beliau meledakkan gol pertama CCM pada minit ke-77.

Doka memastikan kedudukan tuan rumah tidak dicabar dengan gol kedua pada minit ke-85. Di Pizio melengkapkan malam gemilang CCM dengan gol ketiga pada minit ke-90.

Pemain sayap muda itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore selepas merekodkan markah 8.7. Beliau mengatasi cabaran Doka yang merekodkan 8.0.

CCM bakal beradu dengan Al-Ahed di pentas final pada 5 Mei ini.