Bila Sebenarnya Kali Terakhir Malaysia Kalahkan Vietnam?
MakanBola
FA Malaysia

Persoalan timbul mengenai kemarau kemenangan Malaysia ke atas pasukan Vietnam.

Pertembungan penuh hangat Vietnam vs Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan penyokong dalam aksi terakhir kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong malam ini.

Sudah tentunya aksi kali ini mendapat tumpuan ramai setelah kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan skuad negara membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu.

Keputusan perlawanan tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Malaysia didapati bersalah menurunkan 6 pemain ‘warisan’ yang tidak sah.

Oleh itu, Vietnam telah dihadiahkan kemenangan percuma 3-0 yang membantu Pahlawan Bintang Emas tersebut layak ke Piala Asia 2027 manakala Malaysia dikenakan pemotongan 6 mata.

Susulan pembatalan keputusan 4-0 tersebut, Malaysia terus dibelenggu kemarau kemenangan ke atas Vietnam yang kini menjangkau hampir 12 tahun, dengan kali terakhir mencatat kemenangan pada 2014.

Malaysia yang dibimbing oleh Dato’ Dollah Salleh ketika itu berjaya mengatasi Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua AFF Suzuki Cup 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi.

4 gol skuad negara dijaringkan oleh Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Shukor Adan selain jaringan sendiri pertahanan lawan untuk membantu Malaysia menyingkirkan Vietnam dan mara ke final.

Kini, selepas 12 tahun, Malaysia masih belum menemui cara terbaik untuk menewaskan Vietnam dalam 9 pertembungan sejak 2014 dengan 8 kemenangan memihak lawan dan satu keputusan seri.

Malam ini bakal menjadi ujian penting buat Peter Cklamovski serta para pemain untuk memburu kemenangan pertama ke atas Vietnam dalam tempoh lebih sedekad.