Penyerang tinggi lampai Australia, Tete Yengi berkongsi kisahnya bergelar Muslim di hadapan pendakwah terkenal, Mufti Ismail Menk baru-baru ini.
Qalby Studios melaporkan penyerang Livingston itu sudah menunjukkan minat kepada Islam sejak dulu lagi. Hal ini dibantu dengan usahanya untuk belajar, membuat refleksi dan keyakinan dirinya kepada Islam.
Lantas pada satu hari, Yengi mengunjungi Masjid Adelaide di Adelaide, Australia. Beliau hadir untuk melihat cara umat Islam mengerjakan ibadat termasuk solat Jumaat.
Kebetulan pada hari yang sama, Mufti Menk turut berada di masjid sama untuk menunaikan solat Jumaat. Selepas selesai solat, ulama Islam dari Zimbabwe itu beramah mesra dengan para jemaah yang hadir.
Yengi kemudiannya dibawa untuk dipertemukan dengan Mufti Menk. Detik pertemuan inilah yang membawa kepada penyerang berusia 25 tahun itu mengucapkan dua kalimah syahadah.
“Bila saya bersalaman dengan Mufti Menk, beliau bertanya, ‘Anda sudah mengucap dua kalimah syahadah?’ Saya kata, ‘Belum.’
“Beliau kemudian bertanya, ‘Anda mahu lakukannya sekarang?’ Saya kata, ‘Saya tak akan kata tidak.’ Jadi, saya mengucap dua kalimah syahadah di situ bersama beliau,” katanya.
Yengi kini fokus membantu Australia menghadapi kempen Piala Dunia 2026. Beliau kini memiliki tiga penampilan dan satu gol di peringkat antarabangsa.