Bintang Chelsea dan Ukraine, Mykhailo Mudryk berpotensi dikenakan penggantungan selama empat tahun daripada sukan bola sepak.
Isu ini timbul selepas bahan terlarang dikesan ada dalam sampel pertama urin pemain sayap berusia 23 tahun dalam ujian urin rutin.
Susulan itu, perkara berkenaan telah dimaklumkan Persatuan Bola Sepak (FA) kepada pengurusan The Blues. Mudryk dilaporkan telah digantung sementara menanti keputusan sampel kedua air kencing beliau.
Sekiranya sampel kedua air kencingnya juga positif, Mudryk berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun.
Chelsea mengesahkan kelab itu telah dihubungi oleh FA berkenaan situasi yang menyelubungi bekas pemain sayap Shakhtar Donetsk itu.
“Kedua-dua kelab dan Mykhailo menyokong penuh program pengujian (urin) FA dan semua pemain termasuk Mykhailo kerap menjalani ujian (urin).
“Mykhailo telah mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang penggunaan bahan terlarang. Pihak kelab dan Mykhailo akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mengetahui punca isu tersebut,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Mudryk mengakui terkejut apabila mendapat berita tersebut. Ini kerana beliau tidak pernah menggunakan bahan terlarang dalam karier bola sepaknya.
Atas sebab itu, Mudryk sedia bekerjasama demi membersihkan namanya dan dapat kembali beraksi secepat mungkin.
“Ini satu kejutan besar kerana saya tidak pernah menggunakan mana-mana bahan terlarang atau melanggar mana-mana peraturan. Saya akan bekerjasama dengan pasukan saya untuk menyiasat apa yang berlaku.
“Saya tahu saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan saya berharap saya akan dapat kembali di atas padang tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.
Mudryk sudah merekodkan 15 penampilan, tiga gol dan lima bantuan gol bersama Chelsea untuk musim 2024/25.
Kali terakhir beliau beraksi bersama The Blues ialah aksi Liga Konferens UEFA (UECL) menentang Heidenheim pada 28 November lalu. Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-0 buat Chelsea.