Bintang Filipina, Gerrit Holtmann mencipta sejarah tersendiri di Bundesliga bersama kelabnya, VfL Bochum.
Ini selepas pemain sayap berusia 29 tahun itu menjadi pemain paling pantas dalam liga berkenaan dengan rekod 36.74 kilometer sejam (km/s).
Rekod ini dicipta dalam aksi terbaru Bochum menentang Eintracht Frankfurt. Rekod baru Holtmann turut memadamkan rekod sebelumnya yang dicipta pemain sayap FC Heidenheim, Sirlord Conteh.
Conteh mencipta rekod 36.67 km/s dalam aksi Bundesliga menentang Augsburg pada 1 September lalu. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat Heidenheim.
Walau bagaimanapun, rekod ini dilihat saguhati buat Holtmann. Ini kerana Bochum dibelasah 7-2 oleh Frankfurt
Enam pemain mencipta nama sebagai penjaring Frankfurt iaitu Hugo Ekitike, Omar Marmoush, Ansgar Knauff, Nathaniel Brown, Mahmoud Dahoud dan Can Uzun. Sementara Dani de Wit dan Philip Hoffmann menjaringkan gol buat Bochum.
Kekalahan terbaru ini menyaksikan pasukan itu terus terperosok di tangga tercorot liga dengan satu mata daripada sembilan perlawanan.
Meskipun begitu, rekod ini dilihat berita baik buat jurulatih Filipina, Albert Capellas. Ini kerana beliau boleh memanfaatkan kepantasan Holtmann dalam dua aksi persahabatan antarabangsa November.
Filipina bakal menentang Hong Kong pada 14 November. Ini disusuli satu lagi aksi persahabatan sama ada dengan Hong Kong atau Brunei pada 19 November.