Nama bintang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Marcos Guilherme kembali menjadi sebutan di Asia.
Ini selepas namanya tersenarai untuk merebut anugerah Pemain Terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26.
Senarai calon pemain yang merebut anugerah itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di laman sesawang rasmi badan induk itu.
Meskipun baru menyertai JDT pada Januari lalu, Guilherme memberi impak hebat kepada pasukan itu di pentas Asia.
Ini terbukti apabila tiga golnya membantu Harimau Selatan layak ke suku akhir ACLE. Ini sekaligus menjadikan JDT kelab Malaysia pertama yang berjaya sampai ke peringkat berkenaan.
Guilherme turut mencipta sejarah dengan menjadi penjaring gol pertama JDT di peringkat suku akhir ACLE. Gol itu direkodkan ketika menentang juara bertahan, Al-Ahli.
Guilherme bakal berdepan cabaran merebut anugerah Pemain Terbaik ACLE. Selain beliau, turut tercalon ialah duo Al-Ahli, Galeno dan Franck Kessie, penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge dan bekas pemain Newcastle United, Yoshinori Muto.
Machida Zelvia dan Al-Sadd masing-masing memiliki dua wakil iaitu Rafa Mujica, Akram Afif, Yuki Soma dan Kosei Tani. Pemain Shabab Al-Ahli, Guilherme Bala melengkapkan senarai calon anugerah.
Peminat JDT masih berpeluang mengundi Guilherme untuk anugerah itu dengan melayari laman sesawang AFC. Undian dibuka sehingga 10 Mei, jam 5.00 petang.
Bekas pemain V. Varen Nagasaki itu bukan satu-satunya bintang JDT yang menjadi sebutan di Asia. Sebelum ini, Ager Aketxe tercalon untuk anugerah Gol Terbaik ACLE musim 2025/26.