Bintang Leicester-England Layak Wakili Malaysia
MakanBola
Reisskhela

Bintang berbakat Leicester-England dikhabarkan layak mewakili Malaysia menerusi pertalian darahnya.

Pemain itu dikenali sebagai Reiss Singh Khela yang kini menjadi antara prospek tumpuan masa depan England dalam kancah bola sepak di Eropah.

Tonggak berusia 19 tahun itu merupakan produk keluaran Leicester City dan beraksi pada posisi pertahanan tengah dengan memiliki kelebihan ketinggian sebagai aset utama.

Nama beliau kini mula dikaitkan dengan Malaysia dan Harimau Malaya selepas pemain ini dikatakan memiliki pertalian menerusi susur galur datuknya yang merupakan warganegara oleh laman Harimau Abroad.

“Seperti yang didedahkan oleh Malaysia Football League di Instagram dan disahkan oleh sumber kami, pemain tengah Peterborough United, Brandon Singh Khela, dan pertahanan Leicester City U-21, Reiss Singh Khela, mempunyai datuk berketurunan Malaysia.

“Kedua-duanya juga layak untuk mewakili England dan India,” ujar laporan tersebut.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berhubung status pemain ini oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sekiranya benar, Reiss bakal menjadi aset terbaik buat Harimau Malaya dengan memiliki fizikal yang cukup baik di samping pengalaman pada pentas bola sepak Eropah yang luas sejak kecil.

Antara pemain yang memberikan kesan besar kepada persembahan skuad kebangsaan adalah kapten pasukan, Dion Cools yang memiliki pengalaman bola sepak Eropah sejak dari usia muda.