Pemain Liverpool terpaksa berkorban melupakan keraian Hari Raya Aidilfitri kerana terikat dengan tugasan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perkara ini didedahkan penyerang Perancis, Hugo Ekitike apabila ditanya tentang keraian Aidilfitri oleh legenda Arsenal, Thierry Henry.
Ekitike memaklumkan pemain-pemain Liverpool yang beragama Islam terpaksa meraikannya dalam perjalanan ke Brighton.
Ini kerana mereka perlu fokus kepada aksi EPL seterusnya menentang The Seagulls di Stadium Amex pada 21 Mac ini.
“Saya fikir (keraian) akan dilakukan dalam penerbangan menuju ke Brighton,” katanya seperti dilaporkan CBS Sports Golazo.
Ekitike turut mendedahkan beliau memiliki perancangan untuk membuat keraian gol istimewa untuk perayaan berkenaan.
“Mungkin bersama Ibou (Ibrahima Konate), kita akan buat sesuatu. Saya akan lihat (keraian ini) bersama beliau,” ujarnya.
Umat Islam di United Kingdom dijangka menyambut Aidilfitri pada 20 Mac ini. Selain tugasan EPL, barisan pemain Arsenal dan Manchester City pula terikat dengan tugasan final Carabao Cup.
Kedua-dua pasukan dijangka berentap di Stadium Wembley pada 23 Mac ini.