Pemain berpengalaman Lubnan, Mohamad Haidar percaya pengadil perlawanan, Thoriq Munir Alkatiri telah memberi hadiah buat Malaysia dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 yang menemukan kedua-dua pasukan pada Ahad.
Bintang tengah berusia 34 tahun itu menganggap pengadil seharusnya memberhentikan perlawanan pada minit ke-78 selepas seorang pemain Malaysia mengalami kecederaan.
“Pada separuh masa kedua, pengadil perlawanan seolah-olah memberi hadiah buat pasukan Malaysia. Dia (pengadil) membunuh perlawanan. Kami sudah beraksi secara fairplay sejak permulaan permainan.
“Kesalahan yang besar buat pengadil. Dia perlu mengawal perlawanan dengan lebih baik. Kami dah menghentikan permainan kerana pemain mengalami kecederaan. Kenapa dia (pengadil) tidak menghentikan perlawanan.
“Namun ianya adalah perlawanan yang baik buat kami. Kami melakukan yang terbaik. Saya harap perlawanan seterusnya, kami lakukan dengan lebih baik,” ujar Haidar seperti yang disiarkan di Nadi Weekend.
Pada aksi final Pestabola Merdeka, Malaysia mencipta kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Romel Morales pada babak pertama. Jaringan tunggal itu sudah mencukupi buat Malaysia menjulang piala pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Pau Marti Vicente.
Dengan kemenangan ke atas Lubnan itu, maka berakhirlah sudah badi tanpa kemenangan menentang pasukan dari negara arab selama 25 perlawanan yang lepas sejak 10 tahun yang lalu.