Selepas cemerlang bersama Brighton musim lepas, Levi Colwill kini menjadi antara aset masa hadapan Chelsea di bahagian pertahanan. Dan bintang pasukan bawah 21 tahun England itu menunjukkan cara sebagai bek tengah moden.
Dalam aksi separuh akhir EURO B-21 menentang Israel beberapa hari lepas, Colwill mengejutkan penyokong Three Lions dengan berupaya mengawal bola selama 30 saat. Beliau hanya berjalan dan mengawal bola dengan perlahan tanpa sebarang tekanan daripada pemain-pemain lawan.
Hanya selepas pemain Israel, Oscar Gloukh memberi tekanan kepadanya, barulah Colwill melorongkan bola kepada rakan sepasukan James Garner. Tetapi aura dan kawalan bola yang ditunjukkannya membuktikan potensi beliau sebagai pemain pertahanan elit.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan mudah 3-0 buat anak-anak buah Lee Carsley. Morgan Gibbs-White, Cole Palmer dan Cameron Archer muncul sebagai penjaring gol sekaligus melayakkan mereka ke final EURO B-21.
Difahamkan, Brighton berusaha mendapatkan Colwill secara kekal dan bersedia menawarkan £30 juta (RM178 juta) kepada Blues. Bagaimanapun, Chelsea menolak mentah-mentah tawaran tersebut.
Malah, Blues bersedia memperbaharui kontrak Colwill biarpun kontraknya masih berbaki dua tahun. Bagaimanapun, bek tengah berusia 20 tahun itu ingin tahu perancangan pengurus baru, Mauricio Pochettino sebelum menentukan langkah seterusnya.