Pemain sayap Portugal, Rafael Leao berpotensi terlepas dua aksi kumpulan Piala Dunia 2026.
Talksport melaporkan pemain sayap AC Milan itu dilayangkan kad merah atas kesalahan menumbuk pemain. Insiden itu berlaku dalam aksi persahabatan antarabangsa antara Portugal dan Chile.
Perlawanan mula panas apabila pemain Chile, Felipe Faundez menerjah Leao sebelum melakukan perkara sama ke atas Joao Cancelo. Pemain Barcelona itu kemudiannya mula bertelagah dengan Faundez atas tindakannya itu.
Ivan Roman kemudiannya datang untuk menyokong rakan sepasukannya sebelum disertai Leao. Kedua-dua pemain mula tolak-menolak sebelum pemain berusia 26 tahun itu menumbuk muka Roman.
Ini menyebabkan pemain kedua-dua pasukan bertelagah sebelum berjaya ditenangkan oleh pengadil, Luca Zufferli. Roman dan Leao kemudiannya diarah keluar padang oleh Zufferli.
Bintang Portugal itu berharap beliau dapat menerima hukuman penggantungan yang lebih ringan seperti kapten, Cristiano Ronaldo. Ronaldo sebelum ini juga berpotensi digantung tiga perlawanan kerana menyiku pemain Ireland, Dara O’Shea.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kemudiannya hanya mengenakan penggantungan satu perlawanan kepada Ronaldo dengan baki dua lagi digantung. Jika beliau mengulangi kesalahan sama dalam tempoh pemerhatian FIFA, baki penggantungan dua perlawanan akan dilaksanakan secara automatik.
Hukuman sama juga diterima bekas bintang Brighton, Jurgen Locadia. Susulan itu, beliau hanya terlepas aksi persahabatan menentang Aruba atas sebab penggantungan tetapi boleh beraksi di Piala Dunia.
Jika penggantungan itu dikekalkan, Leao bukan saja digantung untuk aksi persahabatan menentang Nigeria. Malah, beliau juga akan terlepas dua aksi Piala Dunia menentang Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan Uzbekistan.
Portugal meraih kemenangan 2-1 ke atas Chile. Goncalo Guedes dan jeneral tengah Manchester United, Bruno Fernandes masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dengan gol saguhati Chile disumbat Lucas Cepeda.