Ketiadaan bintang sensasi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Takahiro Kunimoto bagi memacu cabaran pasukan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi perhatian ramai.
Pemain kelahiran Jepun itu dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini dan sudah pun beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan domestik.
Bintang berusia 26 tahun itu bagaimanpun masih tidak membuat kemunculan di pentas tertinggi bola sepak Asia sungguhpun kehadirannya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Leandro Velazquez.
Skuad bimbingan Tano Solari sudah mengharungi tiga aksi di ACL musim ini dan merekodkan satu kemenangan dan dua kekalahan setakat ini.
Tumpuan terarah kepada pemilihan pemain import pasukan dengan pengendali kelahiran Argentina itu memilih untuk mempertaruhkan Bergson, Forestieri, Heberty dengan Jordi Amat dan juga Shane Lowy mengetuai barisan pertahanan.
Skuad Harimau Selatan juga menggunakan khidmat Juan Muniz dan Diogo sekaligus menyaksikan pemain seperti Oscar Arribas dan Takahiro Kunimoto tidak dapat didaftarkan dalam skuad di ACL.
Menerusi satu perkongsian oleh laman Transfermarkt, pemain ini memiliki nilai pasaran 800 ribu Euro (RM4 Juta) selain memiliki pengalaman beraksi bersama bekas juara Liga Korea, Jeonbuk Hyundai di pentas tertinggi Asia.
JDT masih memiliki baki tiga perlawanan di ACL dengan aksi berdepan Ulsan Hyundai dijadualkan bakal berlangsung di laman sendiri pada 7 November kelak.
Beliau sudah merekodkan dua gol dan tiga bantuan gol dalam penampilannya di Piala Malaysia 2023.