Penyerang muda Brighton & Hove Albion FC, Evan Ferguson nyata membuka mata ramai pihak apabila mempamerkan bisanya sebagai penyerang tulen. Ferguson meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 Brighton ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Pemain berasal dari Ireland itu berjaya meledak pada minit ke-27, minit ke-65 dan minit ke-70. Dengan hatrik yang berjaya dihasilkan Ferguson itu, pemain berusia 18 tahun itu kini mengumpul empat jaringan daripada empat perlawanan liga setakat ini.
Mengulas mengenai aksi memukau Ferguson, pengendali Brighton, Roberto De Zerbi memberi bayangan bahawa Ferguson mampu menjadi penjaring terbanyak dalam kancah bola sepak eropah.
“Saya gembira dengan Ferguson hari ini, bukan hanya kerana gol sehaja namun gembira dengan persembahannya, terutamanya pada separuh masa pertama. Dia menemui posisi yang sesuai. Newcastle menggunakan taktikal bertahan 4-4-1, dan ada ruang untuknya. Dia memahami di mana ruang itu berada. Dia sedang berusaha untuk melengkapkan kualitinya.
“Dia boleh menjadi besar, besar, besar. Kualitinya cukup untuk menjadi pemain yang hebat. Dia boleh menjadi antara yang terbaik, penjaring terbanyak di Eropah. Dia dilahirkan pada 2004, dia baru 18 tahun. Saya tidak tahu berapa ramai pemain masih muda, mampu jaringkan gol seperti dia.” jelas De Zerbi.
Brighton kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan yang telah diharungi. Liga bakal berehat seminggu bagi memberi laluan kepada aksi pasukan kebangsaan.