Bojan Hodak Anggap Padang Tak Cantik Sebagai Kelebihan Lawan JDT

bojan hodak kl city melaka united piala malaysia syafiq freman makanbola Bojan Hodak Anggap Padang Tak Cantik Sebagai Kelebihan Lawan JDT
SF / MakanBola
Muhammad Aiman @aiman2309
6:05pm 28/02/2023

Biasanya jurulatih akan merungut atau mengeluh dengan keadaan padang yang tak berapa cantik, tapi berbeza pula jurulatih KL City, Bojan Hodak.

Pengendali dari Croatia itu menyifatkan permukaan padang Stadium Bolasepak Kuala Lumpur yang tidak dalam keadaan baik berikutan baru sahaja digunakan ketika perlawanan menentang Penang pada Sabtu lepas, akan memberi kelebihan tambahan kepada pasukannya apabila melayan kunjungan JDT dalam aksi kedua Liga Super pada Rabu.

“Padang yang teruk akan memberi masalah kepada mereka (JDT) untuk bermain. Kamu lihat bagaimana bola melantun tempoh hari? Ada satu situasi di mana bola berada di hadapan penjaga gol dan ketika penjaga gol mahu bergerak, bola melantun.

“Memang ini satu keadaan yang teruk tapi ini satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan, ia akan menjadi sukar untuk melakukan hantaran di atas padang seperti ini. Kita sudah biasa dengannya tetapi akan menjadi sukar untuk pihak lawan,” ujar Bojan Hodak.

Walaupun Bojan Hodak berpandangan sedemikian, JDT diketahui sebuah pasukan yang boleh menyesuaikan diri dan tampil pada tahap terbaik dalam apa jua situasi.

Malah, di gelanggang yang sama itu pada musim lalu, JDT cemerlang melakar kemenangan 3-0 dan mereka juga tidak tewas dalam 53 perlawanan domestik terakhir di tempat lawan. Sudah tentunya skuad kendalian Tano Solari mahu meneruskan rekod cemerlang tersebut.