Sejak kebelakangan ini, Arif Aiman Hanapi terus memperaga kualitinya sebagai pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang digeruni. Bagi pengendali KL City FC, Bojan Hodak, kualiti yang ditunjukkan Arif musim ini menguntungkan negara untuk jangka masa panjang.
Selepas menyumbat empat gol dalam kemenangan besar 10-0 Malaysia ke atas Papua New Guinea, beliau menyumbat hatrik bila JDT FC mengalahkan Selangor 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA.
Bagi Hodak, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan baginya. Ini kerana beliau sudah melihat sendiri bakat Arif semasa melatih skuad bawah 19 tahun negara dari 2017 hingga 2019.
Bekas pengendali Harimau Selatan itu turut mengakui kemajuan permainan Arif disokong oleh pelbagai kemudahan yang dimiliki pasukan itu. Justeru, Hodak percaya jika beliau meneruskan kemajuan yang ditunjukkan ketika ini, Arif boleh saja menjadi pemain hebat dan disegani.
“Arif menunjukkan kemajuan. Saya pernah melatih beliau semasa bersama (skuad) bawah 19 tahun. Beliau nampak kecil tetapi anda boleh lihat sendiri pelbagai kemahiran dimilikinya.
“Beliau menunjukkan kemajuan yang bagus dalam tempoh dua, tiga tahun ini. Beliau beruntung beraksi dengan Johor (Darul Ta’zim (JDT) FC) kerana di sini ada kemudahan yang bagus, penjagaan perubatan dan kejurulatihan (yang bagus).
“Di sinilah tempat beliau boleh menjadi lebih bagus. Sudah kalau beliau menunjukkan kemajuan (yang bagus), ianya bagus untuk Johor (Darul Ta’zim (JDT) FC), beliau dan Malaysia,” katanya kepada Suzana Basri dan Lily Hamzah untuk temuramah bersama Nadi Arena semalam.