Bekas pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak akhirnya melebarkan sayap karier beliau sebagai jurulatih ke Indonesia bagi melatih pasukan gergasi Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.
Perkara tersebut telah pun disahkan pihak pengurusan Persib Bandung melalui satu ciapan twitter di twitter rasmi kelab. Ciapan tersebut juga memaparkan harapan tinggi diletakkan ke atas Bojan untuk memberikan magis buat pasukan Persib.
“Pelatih berkebangsaan Kroasia ini akan memimpin #PERSIB dalam melanjutkan kompetisi Liga 1 musim ini. Semoga sentuhan magisnya bisa membawa #PERSIB bangkit dan berprestasi,” tulis pihak Persib di laman twitter rasmi kelab.
Bersama KL City sebelum ini, Bojan sudah semestinya akan diingati sebagai seorang jurulatih yang berjaya dengan beberapa pencapaian luar biasa. Antaranya membawa KL City menjulang Piala Malaysia pada tahun 2021 menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selain satu piala yang berjaya dirangkul, Bojan juga berjaya membawa KL City layak ke final Piala AFC 2022 dan menjadi naib juara Piala FA 2023 yang baru sahaja dijalankan minggu lalu.
Dengan tiadanya Bojan di KL City, posisi jurulatih bakal diisi oleh bekas pembantu jurulatih KL City, Nenad Bacina.