Bojan Hodak Tolak Tawaran Kelab Gergasi Asia Tenggara

Bojan Hodak 8 Bojan Hodak Tolak Tawaran Kelab Gergasi Asia Tenggara
Foto: KL City FC
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak dikatakan telah menolak tawaran daripada sebuah kelab gergasi dari Asia Tenggara dan memilih untuk terus kekal setia bersama KL City musim hadapan.

Kelab yang dimaksudkan ialah kelab Singapura, Lion City Sailors (LCS) yang menghabiskan musim 2022 di tangga kedua Liga Perdana Singapura. LCS merupakan pasukan yang menghimpun ramai pemain kebangsaan Singapura dan mempunyai pemain import bertaraf bintang seperti Kim Shin-wook dari Korea Selatan.

Advertisements

Berita penolakan tawaran oleh Bojan Hodak itu dikongsikan oleh wartawan sukan, T. Avineshwaran di laman twitter milik beliau. Jika Bojan kekal membimbing KL City, ini bermakna ianya merupakan tahun ketiga buat jurulatih dari Croatia itu membimbing skuad warga kota.

Bersama KL City, Bojan berjaya membawa pasukan tersebut menjuarai Piala Malaysia pada edisi ke-100 tahun lalu dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 di pentas akhir. Dengan memenangi Piala Malaysia, KL City layak beraksi di Piala AFC musim ini.

Advertisements

Bojan sekali lagi mempamerkan magisnya buat KL City apabila berjaya membimbing pasukan itu mara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC musim ini sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada kelab Oman, Al-Seeb.